Sambal kulat sisir antara hidangan tradisional yang semakin dilupakan. Antara penyebab hidangan ini semakin dilupakan kerana harga pasara kulat sisir pada masa kini agak mahal. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan penyebab untuk melupakan hidangan tradisi ini.

Sambal kulat sisir ini menggunakan bahan – bahan yang begitu mudah untuk didapati. Selain, kulat sisir, beberapa bahan seperti cili kering / cili padi yang dikisar, bawang merah dan bawang putih, telur, garam dan gula turut digunakan.

Bahan – bahan seperti bawang dan cili kering akan ditumis terlebih dahulu sehingga naik bau. Kemudian, kulat sisir dimasukkan bersama. Telur, garam dan gula pula akan dimasukkan dan digaul rata.

Setelah kesemuanya sebati bersama, ia boleh diangkat untuk dihidangkan. Hidangan ini sememangnya enak dimakan bersama nasi putih dan pastinya akan menaikkan selera anda sewaktu menjamahnya.

 Gulai Lemak Siput Sedut merupakan makanan tradisi yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu Pahang. Sajian ini berasaskan siput sedut yang banyak terdapat di dalam sungai dimasak bersama bahan-bahan lain seperti keladi, batang serai, daun kunyit, asam gelugor, santan cair, pati santan, garam dan gula secukupnya. Cara penyediaan masakan ini sama seperti masakan gulai yang lain. Bezanya pada bahan utama iaitu siput sedut. Sebelum memasak, siput sedut perlu dipotong bahagian hujung untuk mengeluarkan kotoran dan memudahkan ia disedut semasa makan.

Opor ini menggunakan daging sebagai bahan utama. Ia  merupakan tradisi negeri Pahang, dan memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan hidangan ini. Tempoh yang diambil adalah antara lima ke enam jam untuk disiapkan.

Hidangan ini menggunakan santan pekat dan cair dan rempah opor khas yang memberikan rasa pedas, main dan manis.

 

Gulai lemak pede atau gulai lemak budu amat digemari oleh masyarakat Pahang yang menetap di kawasan Jerantut.Masakan ni sebenarnya campuran pelbagai ulaman kampung seperti daun kaduk, pucuk mengkudu, pucuk ubi, daun kunyit, terung pipit, daun kesum.

Selain sambal hitam yang begitu terkenal di negeri Pahang, terdapat satu lagi sambal yang tidak kurang hebatnya. Sambal bunga kantan merupakan makanan tradisional dari daerah Raub. Ia banyak dihasilkan terutamanya pada musim bunga kantan tiba.

Sambal bunga kantan ini dimasak bersama ikan bilis, santan, cili padi, bawang besar dan bawang putih. Kesemua bahan akan disatukan dan dimasak sehingga kering.

Hidangan ini enak dimakan bersama nasi putih mahupun roti. Ia juga boleh dimakan bersama pulut atau boleh dimakan begitu sahaja.