Pulau Tawar dipercayai merupakan antara kampung yang tertua di Pahang. Ia adalah sebuah kampung tradisional yang terletak di pinggiran Sungai Pahang. Banyak berlaku peristiwa bersejarah di sini terutama semasa penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Semasa penjajahan Inggeris banyak pahlawan-pahlawan Melayu yang bangkit untuk menentang. Antara yang paling menjadi kebanggan di Pulau Tawar ialah Mat Kilau. Nama pahlawan Mat Kilau dengan Pulau Tawar begitu sinonim dan makam beliau ada di Pulau Tawar.

 

    Asal nama Pulau Tawar dikatakan berasal daripada kedudukan fizikal kampung itu sendiri yang terletak di pinggir Sungai Pahang dan dilingkungi oleh tiga anak sungai, iaitu Sungai Cucuk, Sungai Sabing dan Sungai Sambau. Oleh kerana masyarakat setempat menyebut sungai itu sebagai laut tetapi rasanya yang masih tawar dan tidak masin seperti air laut maka digelar Pulau Tawar.

Cerita lain mengenai asal nama Pulau Tawar pula mengatakan bahawa nama itu diambil daripada nama sejenis rotan iaitu rotan tawar. Dikatakan pada masa dahulu terdapat banyak pokok rotan tawar yang tumbuh di kampung itu dan ia tumbuh secara berkelompok atau dipanggil penduduk setempat 'berpulau-pulau'. Disebabkan itu kawasan itu dinamakan Pulau Tawar.