Lata Meraung merujuk kepada kawasan air terjun yang menarik berhampiran Bandar Jerantut. Perkataan 'Lata' adalah merujuk kepada kawasan air terjun, manakala 'Meraung' diberi nama kepada kawasan air terjun tersebut kerana deruan air yang jatuh ke permukaan kolam seolah-olah bunyi orang meraung.

Pada masa dahulu, kawasan tersebut hanya didiami oleh Orang-orang Asli, seiring dengan perubahan dan dengan adanya kemudahan jalan raya dan kemudahan asas yang lebih baik, lebih ramai penduduk mula mendirikan petempatan di pinggir-pinggir jalan menghala ke Lata Meraung. Malah wujud pekan mini komuniti cina di laluan menghala ke kawasan air terjun tersebut.

Bagi pengunjung yang berminat ke Lata Meraung, mereka bolehlah menggunakan khidmat pemandu pelancong yang terdapat di Bandar Jerantut memandangkan tiada kemudahan bas awam atau teksi yang sering berulang alik ke kawasan itu. Pelancong yang lebih suka berjalan kaki juga adalah tidak digalakkan memandangkan jaraknya yang sangat jauh daripada laluan bas awam. Bagi pelancong yang berkereta, tiada masalah untuk mengunjungi kawasan tersebut memandangkan telah wujud sistem jalan raya yang agak baik. Ini berikutan adanya petempatan dan wujudnya sebuah padang golf berhampiran Lata Meraung.Jarak dari Bandar Jerantut ke Lata Meraung adalah lebih kurang 15km. Dari Bandar Jerantut, pengunjung harus meneruskan perjalanan melalui jalan besar Jerantut-Benta.

Terdapat beberapa peringkat air terjun di Lata Meraung. Bagi pengunjung yang datang berkeluarga, mereka boleh memilih untuk mandi-manda bersama anak-anak di kolam paling bawah memandangkan ianya lebih selamat. Namun, pengawasan perlu kepada keluarga dan anak-anak kerana kawasannya yang berbatu dan agak licin. Sesetengah kawasan adalah agak dalam dan perlu berhati-hati.

 

 

 

Rabbit Park merupakan  salah satu tempat menarik yang terdapat di Jerantut.  Rabbit park tersebut didirikan adalah bertujuan untuk mempamerkan segala jenis baka arnab. Terdapat lebih dari beratus ekor dan lebih dari 10 baka. Rabbit park ini di buat juga untuk memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak kampung yang sukar untuk mencari peluang pekerjaan.

 

TEMPAT    :  UNIT PELADANG BUKIT BATU,KAMPUNG BUKIT BATU,DAMAK,

                    27030 JERANTUT,

                    PAHANG  DARUL MAKMUR.

MASA        :  9.00 PAGI – 6.00 PETANG ( ISNIN – AHAD )

BAYARAN  :   RM7 SEORANG

 

 

Bukit Seladang lebih dikenali sebagai Bukit Pohon Sebatang oleh masyarakat setempat. Bukit tersebut terletak lebih kurang tiga kilometer daripada Bandar Jerantut, melalui jalan Benta. Ketinggian Bukit Seladang dianggarkan sekitar 165m ataupun 541 kaki. Bukit tersebut sering menjadi tumpuan masyarakat tempatan untuk melakukan aktiviti riadah terutamanya pada hujung minggu. Selain itu, mereka juga akan dapat melihat pemandangan matahari terbit yang sangat cantik melalui atas bukit ini.

Bukit ini dikatakan dimiliki oleh seorang saudagar cina yang terkenal di bandar Jerantut, iaitu Dato’ Seri Lim Ah Chap. Sebagai simbolik, hanya sebatang pohon asal ditinggalkan dan mungkin ada cerita tersendiri disebaliknya. Walau bagaimanapun, setakat ini difahamkan bahawa kawasan tersebut telah ditanam dengan pokok-pokok getah.

 

 

 

Gunung   Senyum yang terletak di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486 meter (1,594 kaki).Gunung   Senyum mempunyai hutan  Dipterokarp  Bukit. Terdapat banyak  flora atau tumbuhan herba di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Bagaimanapun, masih ramai tidak  mengetahui kisah benar di sebalik kewujudan Gunung Senyum yang memiliki 25 gua dengan pelbagai nama unik dan klasik. Antara gua menarik di sini ialah  Gua Terang Bulan Gua Kelam dan Gua Jebak Puyuh. Terdapat juga gua-gua yang masih mengalami proses pertumbuhan stalagtait dan stalagmait. Gua-gua di sini dibawah jagaan  PERHILITAN. Antara gua yang menjadi pilihan pengunjung ialah Gua Tapa, Gua Gudang Kelawar, Gua Kolam Tujuh, Gua  Batu Merlap, Gua  Kambing, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Gong dan Gua Danau Impian.Selain itu terdapat juga Gua Mayat, Gua Rangkak, Gua Sisik dan Gua Ular. Gua Kolam dipercayai menjadi tempat   bersiram seorang puteri bunian suatu ketika dulu. Gua Nesan menyimpan  19 pasang batu nesan di dalamnya. Gua Merlap  dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Orang Bunian malah penduduk turut  mendakwa  mengenai kehadiran batu bersinar yang tergantung di dalam gua itu.

 

Bukit Rong,Sungai Salan,Pulau Tawar,Jerantut. Dengan kadar ketinggian bukit ini tercatat sekitar 237m/777ft. Adalah salah satu tempat riadah yang menarik bagi mereka yang suka mendaki bukit selain Bukit Seladang di Sungai Lekok Jerantut. Bukit ini mungkin sesuai bagi aktiviti pendakian dan penggemar yang ingin mendaki bukit sekitar jerantut. Selebihnya anda kena  pergi sendiri ke bukit ini untuk mencari kelainan dan kelebihannya.